01 June 2012

Masuk Syurga Kerana Jesus Christ


Ramai penganut Kristian mendakwa bahawa hanya dengan beriktikad bahawa Jesus Christ adalah anak Tuhan ataupun juru selamat maka mereka bakal mendapat kehidupan yang abadi di Syurga. Iktikad ini sudah lebih dari mencukupi dan mereka tidak perlu melakukan apa-apa ibadat lagi.
Dakwaan ini merupakan umpan menarik yang disajikan oleh mubaligh yang menjalankan gerakan penginjilan. Malah, bagi mereka sudah cukup andai seseorang itu tidak mahu mengisytiharkan diri menganut Agama Kristian tetapi meletakkan Jesus di dalam hati masing-masing.
Bahkan, seorang sahabat saya turut mempunyai pengalaman peribadi dalam hal ini sewaktu berinteraksi dengan seorang pengikut Kristian semasa menghadiri upacara perkahwinan sahabatnya di sebuah gereja.  
Beliau telah diajak untuk menjadi 'silent follower' di mana beliau hanya perlu beriktikad bahawa Jesus merupakan anak Tuhan dan selebihnya bebas untuk mengikuti ajaran Islam lain seperti bersolat, berpuasa dan sebagainya. Dengan itu, tempatnya di Syurga sudah terjamin.
Terdapat dua ayat utama dari Kitab Bible yang digunakan oleh mereka bagi menyokong dakwaan ini.  Petikan ayat daripada John 3:16dan Roman 10:9 itu berbunyi seperti berikut;

"Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengurniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal." [John 3:16]

"Sebab jika kamu mengaku dengan mulutmu, bahawa Jesus adalah Tuhan, dan percaya dalam hatimu, bahwa Allah telah membangkitkan Dia dari antara orang mati, maka kamu akan diselamatkan." [Roman 10:9]
Persoalan yang ingin saya huraikan di sini ialah adakah dengan hanya beriktikad sebegitu, maka seseorang itu dengan begitu mudahnya akan masuk ke dalam Syurga Allah? Benarkah ini merupakan ajaran sebenar yang dibawa oleh Jesus Christ di sepanjang misi kenabian Baginda?
Ayat daripada John 3:16 merupakan ayat kontroversi yang diragui kesahihannya termasuklah dalam kalangan ulamak Bible sendiri.  Malah, kebanyakan pentafsir Bible mengakhiri tafsiran mereka selepas ayat ke 15.  ( NIV Bible Version )
Oleh itu, adalah sesuatu yang mengecewakan seandainya seseorang itu menerima bulat-bulat hujah daripada sumber yang gagal dibuktikan kebenarannya.
Untuk ayat Roman 10:9 pula, ia bukanlah ungkapan Jesus Christ sebaliknya merupakan ayat yang dilontarkan oleh St Paul the Tarsus.
Beliau pada awalnya merupakan orang yang paling kuat sekali menentang ajaran Jesus Christ walaupun tidak pernah bertemu sendiri dengan Jesus. Kebenciannya terhadap ajaran Jesus membuatkan beliau sentiasa mencari peluang untuk menghukum penganut ajaran yang dibawa oleh Jesus.
Namun, beliau dikatakan menerima visi bertemu Jesus dalam perjalanan ke Damsyik dan terus menjadi penyampai ajaran Jesus. Akan tetapi, kebanyakan ajaran yang dibawa sangat bertentangan dengan ajaran sebenar Jesus.
Ayat daripada Matthew 7:21 sebagai contoh, jelas menunjukkan bahawa seruan dari John 3:16 dan Roman 10:9 adalah sangat-sangat menyalahi ajaran sebenar Jesus Christ.

"Bukan setiap orang yang berseru kepada-Ku: Tuhan, Tuhan! akan masuk ke dalam Kerajaan Syurga, melainkan dia yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di Syurga."[Matthew 7:21]

Terdapat penganut Agama Kristian mendakwa bahawa ayat ini sebenarnya ditujukan kepada golongan munafik yang menggunakan nama Jesus demi untuk kepentingan diri sendiri.
Akan tetapi, ayat ini sebenarnya cukup jelas sekali menyatakan bahawa dengan melakukan kehendak God the Father, maka barulah seseorang itu akan dimasukkan ke dalam Syurga.
Perkara yang sama turut ditegaskan oleh Jesus Christ sewaktu seorang pemuda kaya datang bertanyakan Baginda tentang cara-cara untuk beroleh kehidupan yang abadi. Menurut Baginda, hanya dengan mematuhi segala perintah Allah, maka seseorang itu beroleh Syurga. Peristiwa ini tercatat dalam surah Matthew 19: 16-25.
Dalam ayat Matthew 19:23 pula, Jesus sekali lagi menegaskan bahawa adalah sukar sekali untuk memasuki Syurga. Paling ironi ialah apabila penegasan ini diulang kembali dalam ayat ke-24 yang dinukilkan dalam bahasa yang cukup indah sekali.

"Sekali lagi Aku berkata kepadamu, lebih mudah seekor unta masuk melalui lubang jarum dari pada seorang kaya masuk ke dalam Kerajaan Allah." [Matthew 19:24]

Berdasarkan hujah-hujah di atas, dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa begitu mudahnya untuk memasuki Syurga dengan hanya menanam iktikad terhadap Jesus Christ hanyalah satu angan-angan kosong.
Andai seseorang Kristian itu ingin memasuki Syurga, maka mereka harus mengikuti suruhan Jesus Christ dan juga God the Father. Dan suruhan itu tidak lain dan tidak bukan adalah merupakan syariat ISLAM. Hanya dengan menganuti agama ISLAM maka seseorang itu dapat masuk Syurga.



30 May 2012

Nikah Gantung (Khitbah) Satu Alternatif

Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas (zina) serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini, saya menyarankan satu program atau projek besar iaitu "Taysir az Ziwaj" dilaksanakan, khasnya oleh pihak berwajib.
Taysir Az Ziwaj ialah "Permudahkan Proses Perkahwinan" terutama kepada anak-anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan.
Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan (nafsu) syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul, benar dan baik.
Gejala seks bebas (zina) dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul, tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain. Sedang Islam menggalakkan perkahwinan (aqad nikah) agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal. Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia.
Firman Allah swt yang bermaksud :
"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui." (Surah An-Nuur : Ayat 32)
Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas (zina). Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib (kerajaan) seperti (sekadar menyebut beberapa contoh) :
  • Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
  • Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
  • Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
  • Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
  • Menganjurkan perkahwinan beramai-ramai yang menjimatkan
  • Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
  • Merendahkan hantaran perkahwinan
Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung. Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :
  • Suami
  • Isteri
  • Wali
  • Saksi
  • Aqad (Ijab Qabul)
Cuma bezanya ialah pasangan pengantin (suami isteri) tidak tinggal serumah dalam tempoh-tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti (sekadar menyebut beberapa contoh) :
  • Masih menuntut di kolej atau universiti
  • Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
  • Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
Justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan (atas persetujuan bersama kedua-dua pihak) dan barangkali tinggal bersama keluarga masing-masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan di atas telah selesai dan mereka benar-benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.
Kelebihan Nikah Gantung
Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang-undang negara. Andai dalam tempoh itu mereka bertemu, keluar makan, dating, study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks, maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram.
Andai berlaku kehamilan, maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab (keturunan). Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah.
 Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata-ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang. Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama. Akhirnya, jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara.
Penerimaan Masyarakat
Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab. Menurut amalan tersebut, sewaktu majlis pertunangan, ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah (halflun nikah) tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali (serumah) sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan (haflul Qiran). Terkadang tempoh itu (antara pertunangan dan perkahwinan) menjangkau tahun lamanya.
Dalam masyarakat Melayu, amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan namaNikah Gantung. Ia pernah dikaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz, Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara.
Malah menurut Abdul Jalil Borhan, perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 (dalam bahagian 5) enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.
Perbahasan Hukum
Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun. Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah, maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.
Apabila pasangan pengantin (nikah gantung) bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi, maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin (jima'/bersetubuh). Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir (material) . Berkait perkara ini, kita mempunyai beberapa pandangan :
a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini (nafkah zahir) wajib dengan berlakunya aqad, maka selepas sahaja aqad nikah, suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya.
b] Pandangan jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat-syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami (berpindah ke tempat suami), boleh melakukan istimta' (mengambil keseronokan) , jima'/bersetubuh , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya.
Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa ; bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku. Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama, maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri, buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .
Tegasnya saya sebutkan disini, terutama kepada pihak berkuasa agama, ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak-anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam. Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak, tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak-anak gadis dan teruna kita berpeleseran, bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan. Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar, murka Allah swt itulah yang paling ditakuti.

Wahai Para Da'ie

Kamu... mereka yang dikurniakan Allah nikmat ilmu Al-quran dan hadith.


Yang mengetahui apa yang tidak kami ketahui tentang agama kami sendiri.


Dengan itu, telah menjadi tanggungjawab kamu untuk menyebarkannya kepada kami.

"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya."
Al-Baqarah, 42
Wahai para dai'e,

Dengarlah rintihan dan permintaan dari kami ini, agar kami boleh memahami apa yang telah menjadi pegangan kami selama ini. Kami tidak ingin jahil selamanya, kami punya semangat tapi kami memerlukan dorongan, sedikit anjakan dari kamu, dan peringatan agar kami tidak kembali lalai.
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."Ali-Imran, 104
Wahai para dai'e,
Janganlah kamu sesekali merasakan diri kamu itu lebih hebat dan mulia daripada kami, kerana ianya hanya akan menyebabkan kami menjauhi kamu. Biarlah kami sendiri yang merasakan diri lemah dan jahil berbanding dengan kamu agar kami sentiasa mendekatimu untuk memperbaiki diri kami agar memperoleh keredhaan Allah.


"Zuhudlah terhadap apa yang ada di dunia maka Allah akan mencintaimu, dan zuhudlah terhadapp apa yang ada di tangan mansusia maka manusia pun akan mencintaimu."H.R Ibnu Majah dll dgn sanad hassan



Wahai para dai'e,
Berilah kami nasihat dan peringatan yang sesuai dengan tahap kemampuan iman kami, bersikap lembutlah terhadap kami,  bantulah kami membentuk aqidah kami, janganlah engkau menyeru kami untuk menunaikan ibadah-ibadah sunnah sedangkan ibadah wajib kami tinggalkan.
Jawablah soalan-soalan kami dengan bijak dan sertakanlah sedikit jawapan tambahan agar boleh kami mengambil pengajaran yang bermanfaat. Seperti mana Rasulullah SAW apabila baginda ditanya sama ada air laut itu boleh dibuat wudhuk atau tidak, baginda menjawab.
"Laut itu airnya suci lagi menyucikan dan bangkai haiwannya halal"H.R Malik, al-Syafi'e


Wahai para dai'e
Telah kamu ketahui tanggungjawabmu, maka tunjukkanlah kami teladan yang baik untuk kami ikuti. Janganlah kamu hanya menasihati kami dengan mulutmu, tetapi tidak dengan akhlakmu. Kita sendiri tahu bahawa Allah dan Rasul-Nya tidak suka perbuatan seumpama itu.
"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?"Al-Baqarah, 44
Dan, telah kamu wahai para dai'e, menjalankan tanggungjawabmu. Maka tibalah giliran kami untuk menyampaikan nikmat Allah ini kepada saudara kita yang masih tidak mengetahui. Dan semoga kita dirahmatiNya...


"Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya."Ad-Dhuha, 11